SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Umum Extra Joss Sebagai Rakan Strategik Baharu Gergasi Merah

Jun 07, 2023 - FAS

Selangor FC Umum Extra Joss Sebagai Rakan Strategik Baharu Gergasi Merah

Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini dengan besar hati mengumumkan syarikat minuman tenaga dari Indonesia, Extra Joss sebagai rakan strategik baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini selepas selesai majlis menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara kedua-dua belah pihak, awal pagi tadi.

Extra Joss ialah syarikat minuman tenaga peneraju pasaran yang ditubuhkan oleh Kalbe Group of Companies, syarikat farmaseutikal terbesar di Asia Tenggara. Extra Joss komited untuk menyokong Bola Sepak Antarabangsa dengan kerjasama Kelab Antarabangsa.

Kerjasama strategik ini bakal memperlihatkan penjenamaan Extra Joss dipamerkan di bahagian bawah seluar jersi rasmi Selangor FC, selain aktiviti penjenamaan di stadium pada hari perlawanan serta berada di beberapa aset digital platform media sosial SFC.

Sempat ditemui, Pengarah Urusan PT. Bintang Toedjoe, Ibu Fanny Kurniati berkata, "Tahun 2023 merupakan tahun yang sangat luar biasa, Extra Joss sangat berbesar hati dipilih sebagai Rakan Minuman Tenaga rasmi oleh Selangor FC. Extra Joss menyokong Selangor FC dan para pemain untuk terus mencipta pencapaian dengan kekal bertenaga pada sesi latihan dan hari perlawanan. Extra Joss turut ingin menjemput penyokong Gergasi Merah semua untuk bersama hidup cergas dengan meminum Extra Joss setiap hari", ujar beliau.

Pengerusi Kelab Bola Sepak Selangor, DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah turut bertitah, "Beta melihat kerjasama ini dapat membantu Kelab bukan sahaja dari sudut kelestarian kewangan, malah ia juga boleh membuka ruang untuk Selangor lebih dikenali di peringkat Asia Tenggara. Beta berharap kerjasama ini dapat menarik minat syarikat-syarikat besar yang lain untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem bola sepak kita", ujar Baginda.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon juga berkongsi rasa gembira beliau dan mengalu-alukan kehadiran Extra Joss sebagai rakan strategik baharu SFC.

"Kami di Selangor FC amat mengalu-alukan kehadiran syarikat-syarikat gergasi bertaraf antarabangsa seperti Extra Joss untuk menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Dengan adanya sokongan yang hebat serta berpanjangan daripada rakan strategik seperti ini, ia sudah pasti akan menjadi dorongan buat kami untuk melakukan yang terbaik dalam apa sahaja yang kami lakukan," kata beliau.

"Kami akan memberikan sepenuh komitmen kepada rakan strategik kami dalam memastikan hubungan kerjasama yang baik ini dapat dijaga, selain menunaikan kehendak dan keperluan penaja untuk kebaikan dan kemajuan bersama," tambah Dr. Johan.

Selangor FC ingin mengucapkan selamat datang dan jutaan terima kasih kepada Extra Joss di atas perjanjian kerjasama ini dan semoga usaha ini dapat menarik lebih banyak syarikat lain untuk turut menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah.

Dalam masa yang sama, skuad Gergasi Merah kini berada di Kota Bharu bagi menghadapi perlawanan Liga Super ke-13 musim ini menentang Kelantan United malam ini.

Demi Kebanggaan!